November 26, 2017 News No Comments

Perbadanan Taman Negara Johor, Iskandar Puteri, 26 Nov. –

Bahagian Penguatkuasaan PTNJ telah menganjurkan satu aktiviti yang diberi nama Latihan Pemantapan Pasukan Penguatkuasa Taman Negara Johor (TNJ) baru-baru ini. Aktiviti ini sebenarnya merupakan satu latihan yang telah dirancang dalam memberikan latihan  serta pendedahan terhadap ilmu dan pengalaman dalam bidang penguatkuasaan bagi memantapkan Pasukan Penguatkuasa TNJ. Selain itu, ianya merupakan satu latihan ulangkaji dalam menjalankan prosedur-prosedur penguatkuasaan dalam rizab TNJ.

  Seramai 16 orang peserta termasuk 2 orang pegawai pengiring daripada Bahagian Penguatkuasaan telah menjalani sesi latihan pada Siri 1/2017 di TNJ Gunung Ledang kali ini. Beberapa pengisian aktiviti telah dijalankan antaranya sesi penerangan peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989, SOP Penguatkuasasaan TNJ, teknik bacaan peta dan kompas serta penggunaan gps dan perisian Spatial Monitoring & Reporting Tools (SMART) dan juga perkhemahan secara berkumpulan dalam hutan di rizab TNJ Gunung Ledang.

  Selain itu, para peserta juga dipecahkan kepada dua kumpulan bagi menjalankan aktiviti rondaan dan pemantauan dalam kawasan rizab berkenaan. Apa yang menarik dalam siri ini, peserta didedahkan dan diberikan pengkongsian ilmu daripada seorang peserta yang berketurunan Orang Asli mengenai sumber alam semulajadi sebagai panduan semasa berada dalam kawasan hutan belantara.

  Diharapkan dengan adanya aktiviti sebegini, Pasukan Penguatkuasa TNJ akan terus mempelajari dan mempunyai pengalaman selain mempunyai ketahanan fizikal serta mental yang kuat dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan.

Disediakann oleh : Ilyas Razak