December 9, 2017 News No Comments

MELAKA: Saiz populasi Harimau Malaya semakin mengecil dan rakyat Malaysia perlu bangkit dan bersatu suara supaya mereka boleh bekerjasama memastikan mamalia itu terselamat daripada ancaman kepupusan.

Pengarah Eksekutif Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) Datuk Dr Dionysius S.K. Sharma berkata terdapat kira-kira 3,000 Harimau Malaya dalam tahun 1950, sementara kira-kira 500 harimau direkodkan dalam 1990 dan anggaran terkini antara 250 hingga 340 harimau berada di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu melindungi mamalia ini kerana ia merupakan ikon kebangsaan dan negara yang mempunyai aura dan daya tarikan tersendiri selain menjadi simbol keberanian.

 

“Jadi, apakah ertinya jika tiada lagi Harimau Malaya? Oleh itu rakyat Malaysia, bukan hanya kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), tetapi kita semua perlu memainkan peranan untuk menyelamatkan harimau ini daripada pupus.

Kita semua perlu bersuara mengenai kepentingan menyelamatkan harimau ini kerana ia akan terjadi jika kita hanya duduk dan tidak berbuat apa-apa,” katanya kepada wartawan di sini hari ini selepas merasmikan Persidangan Eko-Sekolah Antarabangsa 2017 Keenam, di sini pada Jumaat.

Persidangan yang bertemakan “Pengurusan Sisa dan Kesannya Ke Atas Alam Semula Jadi dan Biodiversiti” melibatkan 71 pelajar dan 27 guru daripada 27 sekolah dari Malaysia, Thailand dan Singapura yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran kepimpinan dan meningkatkan keyakinan mereka dengan berinteraksi sesama peserta.

Harimau Malaya disenaraikan sebagai haiwan terancam di dalam senarai merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia 2010.