January 15, 2018 News No Comments

ISKANDAR PUTERI :  Sport For Nature atau Sukan Untuk Alam Sekitar telah diberi nama khas bagi Program Sukan Anjuran Bersama Perbadanan Taman Negara (Johor), Tourism Johor dan Majlis Sukan Negeri Johor bersama Media Prima Berhad yang telah diadakan pada 15 hingga 17 Disember 2017.  Program ini telah diinspirasikan bagi menjalinkan hubungan silaturrahim di antara agensi kerajaan dan swasta dalam melaksanakan program sukan dan lawatan ke Taman Negara Johor Pulau Kukup dan Tanjung Piai.

Seramai 56 orang yang disertai oleh Unit Berita, Media Prima Berhad yang diketuai oleh Pengurus Jabatan Editorial Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3, Encik Mohd Azri bin Atan bersama-sama beberapa personaliti Unit Berita, Media Prima Berhad.

Pada 16 Disember 2017, 3 acara sukan telah dipertandingkan iaitu Bola Sepak, Bola Jaring dan Bowling. Bagi acara Bola Sepak dan Bola Jaring telah diadakan serentak di Kompleks  Sukan Educity, Iskandar Puteri. Perlawanan ini berkesudahan dengan Bola Sepak telah dimenangi oleh Media Prima Berhad dengan jaringan 5-0, manakala Bola Jaring juga berpihak kepada Media Prima Berhad dengan jaringan 35-4. Pada sebelah petang pula, acara Bowling telah diadakan di Lite SuperBowl, Pelangi Leisure Mall. Acara Bowling ini telah disertai oleh 4 pasukan iaitu 2 pasukan daripada Perbadanan Taman Negara (Johor) dan Tourism Johor mewakili negeri Johor dan 2 pasukan daripada Media Prima Berhad. Acara ini telah dimenangi oleh pasukan Media Prima Berhad B dengan jumlah pungutan jatuhan pin sebanyak 3621 pin. Pada sebelah malam pula, kesemua peserta program ini telah dijemput untuk makan malam bersama di Hotel Mutiara yang telah di taja oleh Tourism Johor.

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, pihak Media Prima Berhad telah dibawa ke Taman Negara Johor untuk melawat  TNJ Pulau Kukup dan Tanjung Piai bagi merasai keindahan dan keseronokan alam sekitar yang terdapat di Pulau Paya Bakau Tidak berpenghuni ke-2 terbesar di dunia dan Penghujung Terselatan Benua Asia.