Gajah - korban lintas jalan
July 18, 2018 News No Comments
Kuala Lumpur:  Angka mengejutkan apabila nahas jalan raya tidak hanya mengorbankan nyawa manusia saban tahun, malah turut membunuh 2,444 pelbagai hidupan liar dilindungi.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jumlah kes kemalangan membabitkan 36 spesies hidupan liar itu direkodkan berlaku sepanjang 2012 hingga 2017.

Menurutnya, angka direkodkan itu dianggap membimbangkan apabila bilangan hidupan liar dilindungi yang mati akibat dirempuh kenderaan kian meningkat saban tahun.

“Antara spesies haiwan liar paling kerap dilaporkan mati dilanggar adalah kucing hutan, ular, tapir, beruang, gajah, harimau kumbang, harimau belang dan kambing gurun.

“Berdasarkan perangkaan, spesies reptilia yang mati dilanggar mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 912 diikuti mamalia 144 dan burung 88,” katanya.

Dia berkata, haiwan lain yang direkodkan mati akibat kemalangan adalah tapir 68 ekor, beruang (6), gajah (4) dan harimau (3).

“Siasatan PERHILITAN mendapati laluan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Jalan Mersing paling kerap berlaku kemalangan ini.

“Kebiasaannya kemalangan sering berlaku pada waktu lewat malam, senja dan subuh,” katanya.

Abdul Kadir berkata, kepupusan hidupan liar boleh berlaku secara drastik jika insiden ini berlaku secara berterusan.

“Pelbagai inisiatif dijalankan bagi mengurangkan insiden seperti pemasangan 280 papan tanda amaran lintasan hidupan liar, pemasangan 24 unit amber-light, membina terowong, laluan khas bagi membolehkan hidupan liar melintasi lebuh raya terutama di kawasan hotspot,” katanya.

Beliau menegaskan nyawa hidupan liar di negara ini kian terancam ekoran kes kemalangan yang berlaku hampir setiap hari.

“Sikap pemandu yang sambil lewa dan tidak peka dengan papan tanda amaran hidupan liar diletakkan di sepanjang jalan dan sengaja memecut laju kenderaan ketika melalui kawasan hotspot antara punca kemalangan terus berlaku.

“Kemalangan terjadi apabila haiwan ini cuba melintas jalan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari makanan, teman mahupun habitat yang lebih sesuai demi kelangsungan hidup,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai lebih prihatin dengan isu itu dan menghentikan perbuatan yang hanya memusnahkan khazanah alam itu.

PERHILITAN sentiasa mengharapkan kerjasama semua pihak untuk melaporkan sebarang kemalangan jalan raya dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 pada setiap Isnin hingga Khamis atau melalui portal e-aduan www.wildlife.gov.my bagi tujuan pengurusan bangkai dan kutipan data.

Disediakan oleh : Mohd Jamilul Anbia Md Denin (news@nstp.com.my)
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 8:44 AM