Anjung Mahligai

Merupakan puncak Gunung Ledang, yang mempunyai dataran kecil yang berbentuk seperti busur sebuah kapal, merupakan tempat indah yang dihiasi  pelbagai  tumbuh-tumbuhan gunung, iklim sejuk dan pemandangan landskap 360 darjah yang mengagumkan. Ketika cuaca yang cerah, anda akan dapat melihat Selat Melaka ke arah barat dan pergunungan Endau-Rompin jauh ke timur. Ketika Matahari terbit dan Matahari terbenam adalah masa terbaik untuk berada di puncak, kerana kita dapat melihat saat-saat waktu malam menjadi hari, atau hari menjadi malam.


Denai Pokok Ara

Laluan yang bersambung di sekitar pintu masuk taman ini disediakan untuk menikmati perjalanan yang santai melalui hutan riparian di sepanjang Sungai Ayer Puteh. Melalui laluan ini, merentasi kawasan konservasi pokok periuk kera dan chalet ke arah Sungai Ayer Putih untuk berenang di spa ikan semulajadi. Terdapat beberapa tempat berkelah dan wakaf di tebing sungai kecil yang sesuai untuk kanak-kanak bermain. Di sepanjang laluan, anda boleh melihat bintang seperti tupai kerawak, lotong cekong dan monyet. Di hulunya ialah Air terjun Ayer Puteh, yang mempunyai lata indah yang mengalir ke kolam cetek yang sempurna untuk anda menyegarkan diri.


Pusat Penerangan

Jangan lepaskan peluang untuk pergi ke Pusat Penerangan di tingkat pertama kompleks pelawat. Di sini, anda boleh belajar tentang sejarah dan legenda gunung Ledang, geologi yang unik dan kepelbagaian biodiversiti yang kaya, serta Orang Asli Temuan yang mendiami kaki bukit dan usaha yang diambil untuk melindungi hidupan liar di taman ini. Terdapat juga sebuah dewan, bilik audio-visual dan perpustakaan mini dalam ruang lingkup kompleks Pelawat.


Kawasan Pemuliharaan

Beberapa kawasan konservasi ex-situ di sekitar Taman Hutan Lagenda tersimpan koleksi tumbuhan unik seperti pokok periuk kera, orkid dan paku-pakis yang telah dikumpulkan atau diselamatkan dari gunung. Anda juga boleh melihat kolam habitat pepatung berhampiran Dewan Lagenda, selain dari dapat melihat pepatung dan pepatung jarum, dan jika bernasib baik anda juga boleh melihat biawak. Berdekatan sini juga terdapat tempat tinggal Landak Raya yang telah diselamatkan.


Menara Pandang Puteri

Menara setinggi 14 meter ini memberikan saujana mata memandang di gunung Ledang dan anda akan dapat melihat pemandangan kanopi hutan hujan sekitarnya. Pada awal pagi terutamanya, menara ini adalah tempat yang terbaik untuk memerhati burung pemangsa terbang berlegar-legar di udara, burung enggang sedang mencari makan dan mendengar suara ungka dari jarak dekat.


Air Terjun Berkembar

Air terjun tiga tingkat ini terletak berhampiran dengan Checkpoint 4 (Kolam Gajah), memerlukan pendakian selama 5 jam dari pintu masuk taman. Air terjun ini merupakan destinasi alternatif yang baik bagi mereka yang tidak mahu meneruskan pendakian ke puncak Gunung Ledang.


Kolam Puteri

Air terjun di Sungai Ayer Panas ini pula boleh dikunjungi dari Resort Gunung Ledang, iaitu kira-kira 5km ke jalan utama menuju Segamat, dari pintu masuk utama taman (Taman Hutan Lagenda). Pendakian ke air terjun ini mengambil masa kira-kira 30 minit, mengikuti denai sepanjang Sungai Ayer Panas. Terdapat beberapa tempat berenang yang popular, pondok wakaf dan kawasan berkelah di sepanjang laluan.