Pulau Kukup | Dunia Yang Berbeza, Semuanya Berbeza

SALAH SATU PULAU PAYA BAKAU TERBESAR DI DUNIA YANG TIDAK DIDIAMI

Taman Negara Pulau Kukup (Johor) ditubuhkan pada tahun 1997 bagi melindungi salah satu pulau paya bakau terbesar di dunia. Pulau unik ini yang merangkumi keluasan 647 hektar adalah kawasan perlindungan yang penting bagi tumbuhan dan haiwan yang berkaitan dengan bakau; dan beberapa spesies yang dianggap jarang ditemui atau terancam. Laman pejalan kaki, platform pemerhati  dan papan tanda bermaklumat menjadikannya tempat yang sesuai untuk membuat pemerhatian dan pendedahan kehidupan diatas mukabumi yang unik ini, dimana lautan dan daratan bertemu.

Taman ini merupakan tempat persinggahan penting bagi burung air yang bermigrasi melakukan perjalanan serta menempuh pelbagai rintangan di sepanjang Laluan Asia-Australasia (EAAF). Tanah berlumpur seluas 807 hektar yang mengelilingi taman ini merupakan tempat mendapatkan sumber makan yang produktif bagi burung semasa air surut, sedangkan paya bakau pula menyediakan tempat yang selamat bagi mereka untuk berlindung.

Taman ini juga penting bagi penduduk tempatan yang tinggal di tanah besar Kukup dimana paya bakau adalah tapak pembiakan ikan yang dapat menyokong industri perikanan tempatan dan lumpurnya kaya dengan hidupan kerang yang menyediakan sumber makanan dan pendapatan. Pulau ini berhadapan dengan Selat Melaka dan  ianya boleh dikatakan salah satu laluan perkapalan tersibuk di dunia, pulau ini melindungi perairan pesisir dari angin dan ombak. Pada bulan Januari 2003, taman itu telah diwartakan oleh Konvensyen Ramsar sebagai Tanah Lembab Berkepenting Antarabangsa, atau Tapak Ramsar.

Seperti kebanyakan pulau-pulau kecil lain di rantau ini, Pulau Kukup tidak lekang dengan pelbagai mitos dan legenda. Antaranya ialah kisah puteri kayangan; salah seorang daripadanya jatuh cinta dengan seorang pelaut dan menerima akibat yang buruk. Kisah lain menceritakan tentang ular gergasi yang melindungi pulau itu dan kadang-kadang dilihat berenang melintasi selat ke Pulau Karimun di Indonesia.

Pada zaman dahulu, Pulau Kukup terkenal sebagai markas lanun. Menurut satu sumber (tidak dapat disahkan), nama pulau itu berasal dari kata Melayu ‘gugup’ kerana ianya merupakan apa yang para pelaut rasa pada masa terdahulu ketika mereka berlayar melintasi pulau ini, dalam perjalanan ke Selat Melaka.

 

Photo Gallery