Ogos 7, 2017 Berita Tiada Ulasan

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melakukan aktiviti menyelam bagi menyempurnakan program restorasi penanaman anak karang terbesar, hari ini.

Sultan Ibrahim melakukan aktiviti menyelam di Pulau Mentinggi yang terletak di Pusat Taman Laut (PTL) Pulau Tinggi, Mersing kira-kira 8.30 pagi tadi.

Program itu turut dilaksanakan serentak di seluruh negara sempena 10 tahun penubuhan Jabatan Taman Laut Malaysia dan Hari Laut Sedunia 2017 dan mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Terdahulu Sultan Ibrahim melakukan selaman diikuti tiga kumpulan lain bagi menyempurnakan acara penanaman 1,200 anak karang di 20 struktur kerangka polivinil klorida (PVC).

Majlis kemudian diteruskan dengan acara menandatangani plak pengesahan MBOR yang disempurnakan Sultan Ibrahim sambil disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar, merangkap wakil MBOR.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat; Timbalan Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia, Rahim Goriaman dan Pegawai Daerah Mersing, Ashari Kasnan.

HMETRO ONLINE